SEJARAH

Sejarah memainkan peranan penting dalam pembentukan sesuatu bangsa. Dengan adanya sejarah, kita boleh mengambil iktibar dan pengajaran dalam memahami dengan lebih lanjut tentang kewujudan dan kisah-kisah yang lampau.  

SEJARAH PULAI CHONDONG

ASAL USUL

Rencana minggu ini tetap merujuk kepada tulisan saya dalam buku terbitan 1980 itu, sekali gus dilengkapi dengan petikan yang dibicarakan dalam kertas kerja Nadwah Ulama III yang disebut di atas. Nama lengkap Tok Pulai Chondong ialah Haji Abdus Shamad bin Haji Abdullah bin Haji Hasyim,Pulai Chondong al-Kalantani (selanjutnya disingkatkan Tok Pulai Chondong). Lahir semasa pemerintah Long Yunus (1762-1794) iaitu pada tahun 1207 H/1792 M.

Beliau ialah saudara dua pupu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Mengenai tulisan saya (pada tahun 1980) yang belum sempat saya bahas, tiba-tiba Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof memberikan maklumat yang lebih lengkap (pada tahun 2006) bahawa Haji Hasyim (datuknya) berasal daripada keturunan Sultan Ahmad Minangkabau, Sumatera, yang berhijrah ke Patani pada abad ke-18. Saya tidak bermaksud membantah tentang cerita ini, cuma saya masih meragukan perkataan ‘Sultan Ahmad Minangkabau’. Kemungkinan sebenarnya ialah Sutan Ahmad Minangkabau. Perkataan ‘Sultan’ dengan ‘Sutan’ mengandungi pengertian yang berbeza. Istilah ‘Sutan’ banyak digunakan pada pangkal nama orang-orang yang berasal dari Minangkabau walaupun mereka tidak memerintah dalam kerajaan.

Yang saya bicarakan pada perenggan ini adalah dipetik dan diringkaskan daripada tulisan Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof. “Setelah belajar di Patani beliau menjadi ulama, digelar orang ‘Tok Saraf’ kerana pakar dalam ilmu tersebut. Imam Hasyim mempunyai tiga anak iaitu Faqih Haji Abdullah, Faqih Ali dan Faqih Deramat. Faqih Haji Abdullah ialah ayah Tok Pulai Chondong. Akhirnya imam Hasyim, anaknya Faqih Haji Abdullah dan Wan Mek pindah ke Kelantan. Selepas imam Hasyim dan keluarganya sampai di Kelantan, mereka membuka perkampungan yang dinamakan Kampung Bukit.
“Imam Hasyim meninggal dunia di Kampung Bukit itu, selanjutnya anak beliau Faqih Haji Abdullah dilantik menjadi imam di situ. Faqih Haji Abdullah apabila meninggal dunia dikebumikan di Kampung Pisang, Perol, Kota Bharu....” Demikianlah diringkaskan daripada kertas kerja Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof.

PENDIDIKAN
Tok Pulai Chondong setelah belajar daripada ayah dan datuknya sendiri menurut pengajian sistem tradisional Patani. Beliau juga pernah belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin al-Fathani. Selanjutnya pergi ke Mekah pada tahun 1223 H/1808 M. Di sana beliau belajar kepada Tuan Guru Haji Adam. Riwayat yang sahih ramai orang menceritakan bahawa Tok Pulai Chondong ialah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Baik masih berada di Pondok Pauh Bok, mahupun setelah di Mekah, beliau bersahabat dengan beberapa orang antaranya ialah Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani (yang kemudian dikenali dengan nama Tuan Hasan Besut). Juga saudaranya Syeikh Wan Ali bin Wan Ishaq al-Fathani. Sewaktu belajar di Mekah, Tok Pulai Chondong juga bersahabat dengan Syeikh Abdul Malik bin Isa Terengganu, Syeikh Wan Musa dan ramai lagi.

Setelah menetap beberapa tahun di Mekah, Tok Pulai Chondong pulang ke Kelantan. Seterusnya Tok Pulai Chondong menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang pengetahuan iaitu usuluddin, fiqh dan tasawuf. Tidak berapa lama di Kelantan Tok Pulai Chondong berangkat pula ke Mekah dalam tahun 1256 H/1840 M melanjutkan pelajarannya kerana dirasakan bahawa beliau masih perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa orang ulama, Tok Pulai Chondong yang dalam bidang tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar. 

Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof menulis bahawa pada tahun tersebut Tok Pulai Chondong pergi ke Mesir menziarahi makam Imam Syafie bersama sahabatnya, Tuan Hasan Besut. Kisah ini merupakan maklumat baru, dan sekali gus menggambarkan persahabatan yang sangat rapat antara Tok Pulai Chondong dengan Tuan Hasan Besut yang terkenal itu. Masih dalam konteks ini, Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof juga menulis, “ada pendapat lain yang menyatakan bahawa Tok Pulai Chondong telah pergi ke Mekah buat kali kedua pada tahun 1278 H/1861 M bersama anaknya Muhammad Arsyad yang berusia 13 tahun. Pada kali inilah beliau telah mengambil peluang menziarahi kubur Imam Syafie.”

AKTIVITI
Makin bertambah banyak pengetahuannya di bidang tasawuf makin bertambah kuatlah Tok Pulai Chondong beramal. Sebenarnya memang sejak kecil Tok Pulai Chondong ialah seorang yang memang mempunyai ciri-ciri khusus tentang amalan itu. Pada masa tuanya beliau terkenal sebagai seorang sufi yang warak, banyak membaca pelbagai wirid dan zikir. Zikir jihar dan zikir sirr semuanya beliau kerjakan dengan tekun sepanjang siang dan malam.
Doa yang paling sering diamalkannya ialah Hizb al-Bahri yang sanadnya bersambung dengan pengamalnya yang mula-mula iaitu Wali Allah Saiyidi Syeikh Abi Hasan asy-Syazili. Hizb al-Bahri telah beliau ijazahkan kepada beberapa muridnya di Mekah.

Antaranya ialah orang Arab bernama Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan. Syeikh Ahmad ad-Dihan mengijazahkan pula kepada Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani menulis doa tersebut dalam sebuah kitab yang diberi judul Lum'ah al-Aurad. Daripada sini ia tersebar dan banyaklah orang mengamalkan Hizb al-Bahri melalui penerimaan ijazah daripada seorang guru ke seorang guru hinggalah ke hari ini. Aktiviti Tok Pulai Chondong yang diserlahkan oleh Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof dalam kertas kerjanya antara lain termasuk menjadi pelopor kepada pembangunan Kampung Pulai Chondong apabila beliau membuka penempatan baru yang tidak berjauhan dari Kampung Bukit, iaitu Kampung Bilal Talib. Tok Pulai Chondong mendirikan sebuah surau yang akhirnya menjadi sebuah tempat pengajian sistem pondok. Mereka yang belajar ilmu di situ datang dari pelbagai pelosok nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Patani, Terengganu, negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu sendiri dan lain-lain. Pondok Tok Pulai Chondong telah didirikan oleh Tok Pulai Chondong pada tahun 1820. Berdasarkan tahun berdirinya pondok itu, maka para sejarawan Malaysia berkesimpulan bahawa Pondok Pulai Chondong merupakan pondok terawal di Kelantan.

Setelah Tok Pulai Chondong dilantik menjadi imam di Kampung Bukit dan berhasil membuka Kampung Bilal Talib, Tok Pulai Chondong membina pula masjid. Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof menulis bahawa “kebetulan di pinggir kampung tersebut terdapat sebuah pokok Pulai yang besar lagi condong maka Tok Pulai Chondong mengambil sempena keadaan pokok itu lalu menamakan perkampungan tersebut dan kawasan sekitarnya sebagai Kampung Pulai Chondong. Walau bagaimanapun, masjid yang dibina tersebut telah terbakar pada 1820 M dan ia kemudian dipindahkan ke Kampung Surau iaitu tempat terletaknya masjid itu pada masa sekarang. Pada tahun 1856, masjid tersebut sekali lagi terbakar dan dengan kerjasama anak-anak mukim tempatan, Tok Pulai Chondong mendirikan sebuah masjid lain di tepi Sungai Pulai Chondong yang terletak tidak jauh dari tempat terbakarnya masjid tersebut.Masjid yang baru didirikan ini kemudiannya dilengkapkan dengan mimbar, gendang dan menara. Sehingga kini menara Masjid Pulai Chondong masih lagi merupakan objek kemegahan tempatan yang dibina oleh Tok Pulai Chondong pada 1856. Tok Pulai Chondong juga dilantik oleh Sultan Muhammad II sebagai guru di istana untuk mengajar Raja Perempuan tentang agama Islam. Sumbangan Tok Pulai Chondong yang dapat dilihat selain mengasaskan institusi pendidikan dan pengembangan syiar Islam ialah beliau juga berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil sehingga menjadi masyarakat yang berilmu dan patuh terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya.

KETURUNAN
Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof juga mendokumentasikan bahawa Tok Pulai Chondong mempunyai tiga orang adik-beradik. Mereka ialah Halimah, Abd. Rahman dan Tok Pulai Chondong sendiri. Halimah iaitu yang sulung kahwin dengan orang Kubang Kiat, Kota Bharu dan selepas itu menetap di Labok yang terletak kira-kira 7 kilometer dari Pulai Chondong. Di antara tiga adik beradik itu hanya Tok Pulai Chondong yang mewarisi jejak langkah ayah dan datuknya sebagai ulama. Diriwayatkan bahawa Tok Pulai Chondong mempunyai empat orang isteri. Nama-nama mereka ialah Mek Mendusa, Bi'ah, Thamani dan Zaleha. Tok Pulai Chondong dikurniakan 16 anak. Empat daripadanya meninggal dunia ketika masih kecil manakala 12 anak Tok Pulai Chondong terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga perempuan iaitu:

1. Haji Abdul Hamid
2. Haji Abdul Syukur
3. Haji Abdul Aziz
4. Haji Umar
5. Haji Muhammad Said
6. Haji Taib
7. Hajah Siti Mariam
8. Haji Muhammad Arsyad
9. Haji Abdullah
10. Haji Muhammad
11. Hajah Zainab
12. Hajah Ummu Maimunah

Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof mencatatkan pula bahawa hasil perkahwinan Tok Pulai Chondong dengan Thamani memperoleh empat anak iaitu Haji Taib, Haji Abdul Syukur, Haji Muhammad Arsyad dan Haji Abdul Aziz. Anak-anak Tok Pulai Chondong yang lain tidak dapat diketahui daripada isteri-isteri beliau yang mana.

 MASJID TOK PULAI CHONDONG

  

Masjid Pulai Condong merupakan suatu lambang kemegahan penduduk tempatan. Pembinaannya diketuai oleh Hj. Ab. Samad b. Hj. Abdullah pada tahun 1856 (1273H).
Menara ini tingginya hampir 18 meter dan lilit luas 2.8 meter. Ditengah-tengah menara ini telah didirikan sebatang  tiang yang tidak berbumbung sebagai paksi. Menara ini dibina secara bergotong-royong menggunakan tenaga beratus-ratus orang. Pereka bentuknya ialah Haji Abdul Samad sendiri. Semua bahagian menara ini diperbuat daripada kayu cengal batu dengan hanya menggunakan beliong, kapak dan pahat. Keteguhan menara ini telah teruji apabila Kelantan dipukul ribut besar pada tahun 1880 (1297H). Semua pokok kecil dan besar disekitarnya tumbang bergelimpangan, akan tetapi dengan kuasa Allah S.W.T menara ini sedikitpun tidak terjejas oleh tiupan angin tersebut.Mengikut sejarah, Masjid Tok Pulai Chondong pernah dibakar oleh penduduk kampung iaitu Awang Senik namun menara masjid tersebut tidak terbakar.
Masya-Allah, begitulah besarnya kuasa Tuhan. Sehingga kini, menara ini masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan oleh bilal sebagai tempat melaungkan azan. Bangunan ini juga merupakan satu tinggalan sejarah yang amat penting yang memerlukan perhatian dan pemuliharaan. Pelbagai usaha dilakukan bagi pemeliharaan dan pemuliharaan masjid tok pulai chondong.