Mukim Pauh Lima terbahagi kepada 10 buah kampung. Antaranya:
1-Kampung Pangkal Gong
2-Kampung Baru Pangkal Gong
3-Kampung Panggung
4-Kampung Pauh Lima
5-Kampung Peradong
6-Kampung Bukit
7-Kampung Durian Tembaga
8-Kampung Pangkal Nering Timur
9-Kampung Kelubi
10-Kampung Kuala Merabang

Kampung Pauh Lima
Nama asal Kampung Pauh Lima sempena satu simpang tiga dari Bukit Tok Sheikh ke Kampung Panggong dimana terdapat lima batang pokok pauh tumbang.Disitu didirikan sebuah Masjid dikenali sebagai Masjid Pauh Lima.

Kampung Pangkal Gong
Pangkal Gong membawa maksud daratan yang kering. Pada waktu bah merah melanda Kelantan pada 1926. Kebanyakan rumah dari mukim lain ditenggelami air. Tetapi penempatan di Mukim Pauh Lima tidak ditenggelami air dan mampu bertahan sehingga air bah itu surut.

Kampung Baru Pangkal Gong
Kampung Baru Pangkal Gong berasal dari nama Kampung Wei Kambing. Kampung tersebut bersempadan dengan Kampung Pangkal Gong. Bila ada penempatan baru di kampung tersebut. Nama kampung diambil sempena nama kampung sebelah.

Kampung Panggung
Nama kampung ini mendapat nama sempena sebuah empangan atau orang kampung memanggil Panggung. Empangan ini dikatakan wujud dari zaman penjajahan jepun. Kebanyakan orang kampung tersebut atau dari kampung sekitar mengambil air dari empangan tersebut untuk mandi, minum,membasuh pakaian dan sebagainya. Ada juga yang menjala ikan di empangan tersebut dan mencari etak mengikut musimnya.

Kampung Bukit.
Kampung Bukit adalah kampung terawal dibuka dan antara yang paling lama. Haji Hashim iaitu ayah kepada Haji Abdul Samad merupakan imam di Kampung tersebut dan dikenali sebagai Tok Imam Bukit. Beliau berasal dari Pattani Thailand dan berhijrah serta menetap di kawasan tersebut. Nama kampung berasal dari nama sebuah bukit dan untuk ke kampung tersebut seperti perlu mendaki bukit. Mengikut cerita yang disampaikan, keluasan kampung tersebut adalah dari pengkalan kunyit termasuk Kampung Pangkal Gong dan bersempadan dengan Kampung Durian Tembaga.

Mukim Kerawang terbahagi kepada 6 buah kampung
Kampung Kerawang
Kampung Kerawang Hulu
Kampung Chengkok Hilir
Kampung Chengkok Hulu
Kampung Pangkal Nering
Kampung Dalam Kerawat

Kampung Dalam Kerawat
Kampung Dalam Kerawat adalah berasal dari nama penempatan yang dikelilingi oleh kerawat atau dawai besi. Penempatan ini dahulunya adalah penempatan cina iaitu kebun yang dikelilingi kerawat. Haji Omar bin Haji Abdullah iaitu cucu kepada Tok Pulai Chondong membuat tawaran untuk membeli tanah tersebut. Dengan takdir Allah, awal tahun 1900 hingga 1930 an, sebuah perkampungan telah diwujudkan dan dinamakan Kampung Tok Kerawat atau Kampung Dalam Kerawat. Seterusnya beliau mendirikan masjid surau kerawat dan menyediakan pondok agama bagi memudahkan anak muridnya datang menuntut ilmu agama. Dari situ tubuhnya satu institusi pendidikan iaitu pondok agama. Anak muridnya adalah terdiri dari kawasan sekitar dan terdapat juga dari luar kawasan sekitar. Masjid surau digunakan oleh penduduk kampung untuk sembahyang jumaat pada masa itu. Kemudian pada tahun 1980 an masjid surau tidak lagi digunakan untuk sembahyang jumaat. Masjid Tok Kerawat iaitu masjid baru digunakan untuk sembahyang jumaat. Bangunan masjid surau didirikan menggunakan kayu pada masa lalu. Antara tahun 1994 hingga 1996, bagi memelihara dan memulihara bangunan masjid surau tersebut. Bangunan kayu tersebut ditukar dan dibina menggunakan simen. Apa yang pasti tinggalan sejarah yang terdapat di masjid surau tersebut adalah sebuah mimbar lama dan sebuah almari dan masih ada sehingga kini.

Pendidikan
Oleh kerana beliau merupakan cucu cicit tok pulai chondong, apa yang dapat dipastikan Haji Abdullah atau Tok Kerawat menuntut ilmu agama secara langsung dari ayahnya, Haji Omar yang merupakan imam pertama Kampung Masjid Kerawang dan datuknya iaitu Tok Pulai Chondong.
Walaupun masjid surau tersebut tidak lagi digunakan kerana Masjid Tok Kerawat digunakan oleh penduduk kampung untuk sembahyang jumaat. Tetapi masjid surau tersebut terus digunakan untuk aktiviti keagamaan dan sembahyang berjemaah.

Perkembangan  awal  penduduk mukim pauh adalah tidak di ketahui dengan telitinya.Namun penghijrahan seorang tokoh ulamak dari Pondok Kampung Lubuk Daerah Patani  di selatan Thailand pada  tahun 1711 telah menjadi  titik perkembangan penepatan bertempat dan berpusat.    

Tokoh tesebut ialah Tuan Haji Hassim bersama sepupunya Awang Kecik telah membuka sebuah penempatan di Ulu Sungai Pulai Chondong  yang dikenali sebagai Kampung Bukit .Pembukaan kampung  disusuli dengan pembinaan sebuah masjid  yang menjadi pusat  pembelajaran dan penyebaraan agama islam pertama disekitar daerah ini. Tuan Haji Hassim merupakan bapa kepada Haji Abdul Samad atau lebih dikenali Tok Pulai Chondong.
Tuan Haji Hassim juga dikenali sebagai imam bukit. Dia seorang pakar dalam ilmu fiqah. Sepupunya Awang Kechik  merupakan seorang yang mahir dalam ilmu mempertahankan diri. Gabungan dua guru telah menaikkan nama mukim ini dan semakin dikenali ramai. Mukim ini telah berkembang dan dikenali sebagai Mukim Gading Galoh.

Setelah imam bukit meninggal dunia, anaknya Haji Abdul Samad pulang dari Mekah dan membuka pondok baru di Kampung Surau. Madrasah Imam Bukit telah berpindah ke Surau Tok Pulai Chondong dimana Haji Abdul Samad telah membuka sistem pengajian pondok pertama di Kelantan dikenali Tok Pulai Chondong manakala Tok Awang Senik anak kepada Awang Kechik telah berpindah ke Kampung Tok Kaya. 
Pada pertengahan tahun 1820 an, satu lagi perubahan berlaku di Kampung Pauh Lima ekoran pembukaan sebuah kuari di Bukit Buluh. Bermula dari situ, ramai buruh dari luar membuka penempatan di Kampung Pauh Lima semasa ribut besar melanda Kelantan pada 1823.Penduduk di Kampung Pauh Lima terselamat dari ribut tersebut serta mempunyai bekalan makanan seperti beras dan padi yang mencukupi  dan boleh bertahan dari ribut tersebut.

Pada 1941 sekali lagi Kampung Pauh Lima menjadi penyelamat kepada pejuang-pejuang Tok Janggut berlindung dari Inggeris di Kawasan Bukit Sabut dan Bukit Batu Meninjau. Mereka mendapat bekalan makanan beserta ubat-ubatan dari  sekitar penduduk kampung Durian Tembaga  di Mukim Pauh Lima. Pada waktu air bah air merah pada tahun 1926, Pauh Lima terselamat dari bencana ini dan sehingga kini ia dikenali sebagai tanah tinggi atau dengan panggilan Kampung Pangkal Gong bererti dataran yang kering.  

Pada awal tahun 60an, mukim pauh lima menjadi tumpuan seluruh penduduk di Kelantan kerana sebuah kilang mengawet tembakau telah dibuka  yang terbesar di Kelantan oleh sebuah syarikat Inggeris pada tahun 1963. Syarikat tersebut dikenali Malaya Tembakau Company. Pada 1966, sebuah sekolah menengah dibuka menambahkan lagi kemudahan infrastruktur mukim pauh lima.

Antara senarai penghulu yang menjawat jawatan di Mukim Pauh Lima:
a)    Penghulu Jusoh  ( sebelum perang jepun)
b)    Penghulu Pak Chu@Pok Nik (semasa perang jepun)
c)    Penghulu Samad ( selepas merdeka)
d)    Penghulu Wan Harun bin Wan Jusoh ( 1960 hingga 1973)
e)    Penghulu Che Hassan bin Deraman (1973 hingga 1989)
f)    Penghulu Muda bin Mamat (1990 hingga 1995)
g)    Penghulu Zulkarnain bin Samad (1996 hingga 2005)
h)    Penghulu Zainudin bin Hj Ismail (2006 sehingga kini)

PROFAIL MUKIM PAUH LIMA
     
Nama asal Mukim Pauh Lima sempena satu simpang tiga dari Bukit Tok Sheikh ke Kampung Panggong dimana terdapat lima batang pokok pauh tumbang. Disitu didirikan sebuah Masjid dikenali sebagai Masjid Pauh Lima. Dalam Mukim Pauh Lima terdiri dari 11 buah kampung:

A. Kampung Pangkal Gong
B. Kampung Baru Pangkal Gong
C. Kampung Geng
D. Kampung Peradong
E. Kampung Bukit
F. Kampung Kelubi 
G. Kampung Kuala Merabang
H. Kampung Pangkal Nering Timur
I. Kampung Durian Tembaga
J. Kampung Panggong

Keluasan keseluruhan adalah 5km persegi bermula dari Jambatan Sungai Bagan hingga ke Sungai Pulai Chondong,dari pengkalan kunyit hingga sempadan Bukit Batu Meninjau. 
Sumber: Penghulu Mukim Pauh Lima

   

Menara masjid kampung kerawang atau dikenali dikalangan penduduk masjid kampung surau kerawang telah dibina pada 1930.Kini menara masjid kampung kerawang dianggarkan berusia 84 tahun. Menara ini masih lagi utuh walaupun telah lama dibina sejak zaman berzaman. Menara ini dikatakan antara menara tertua di Daerah Pulai Chondong selain dari menara masjid tok pulai chondong. Menara Masjid Kampung Kerawang dibina bagi memudahkan bilal atau muazzin melaungkan azan yang dapat didengar oleh penduduk kampung. Ianya dibina berdekatan sebuah masjid lama. Masjid tersebut sudah tidak digunakan lagi oleh penduduk kampung kerana Masjid Al-Amin yang siap dibina digunakan oleh penduduk tersebut untuk aktiviti keagamaan. Sehingga sekarang walaupun masjid lama sudah tidak digunakan tetapi menara masjid tersebut  masih lagi digunakan bagi bilal melaungkan azan. Walaupun begitu, masjid lama tersebut masih lagi digunakan sekiranya terdapat program dijalankan di kampung tersebut seperti aktiviti khatam al-quran, jamuan makan dan sebagainya.

 

Masjid Pulai Condong merupakan suatu lambang kemegahan penduduk tempatan. Pembinaannya diketuai oleh Hj. Ab. Samad b. Hj. Abdullah pada tahun 1856 (1273H).Menara ini tingginya hampir 18 meter dan lilit luas 2.8 meter. Ditengah-tengah menara ini telah didirikan sebatang  tiang yang tidak berbumbung sebagai paksi. Menara ini dibina secara bergotong-royong menggunakan tenaga beratus-ratus orang. Pereka bentuknya ialah Haji Abdul Samad sendiri. Semua bahagian menara ini diperbuat daripada kayu cengal batu dengan hanya menggunakan beliong, kapak dan pahat. Keteguhan menara ini telah teruji apabila Kelantan dipukul ribut besar pada tahun 1880 (1297H). Semua pokok kecil dan besar disekitarnya tumbang bergelimpangan, akan tetapi dengan kuasa Allah S.W.T menara ini sedikitpun tidak terjejas oleh tiupan angin tersebut.

Mengikut sejarah, Masjid Tok Pulai Chondong pernah dibakar oleh penduduk kampung iaitu Awang Senik namun menara masjid tersebut tidak terbakar. Menara Masjid Tok Pulai Chondong yang berketinggian 17.3 meter dibina yang dibina lebih daripada 154 tahun tanpa menggunakan teknologi canggih.Menara tersebut dibina menggunakan kepakaran manusia dengan hanya sebatang Pohon Cengal. Menara tersebut dibina sendiri oleh Haji Abdul Samad atau dikenali sebagai Tok Pulai Chondong yang terkenal pada abad ke 19.Menyingkap kisah Tok Pulai Condong, beliau adalah seorang ulama Melayu terkemuka di nusantara yang bertanggungjawab menyebarkan syiar Islam.Beliau adalah antara ulama terawal di Kelantan yang dilahirkan ketika zaman pemerintahan Long Yunus (1762-1794) iaitu pada tahun 1792.Berdasarkan catatan yang terdapat pada masjid itu, ia dibina pada tahun 1857 iaitu 100 tahun sebelum merdeka. Menara berkenaan dibina dengan bentuk segi lapan dan terdiri daripada 25 anak tangga.Menara itu dahulunya digunakan penduduk kampung untuk melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat.Keunikan menara berkenaan adalah ia lebih condong ke arah utara walaupun penduduk kampung pernah cuba menegakkannya. Cicit Tok Pulai Chondong, Mohd Nor Mohamed, 74, berkata kayu cengal menara itu diambil daripada Kampung Cina, Kok Lanas yang terletak kira-kira 15 kilometer daripada Pulai Chondong.Menurut cerita yang disampaikan turun temurun, orang ramai bergotong-royong membawa pulang pokok kayu cengal ini yang panjangnya 25.6 meter dari Kampung Cina, namun bagaimana caranya tidak diketahui.Menara terbabit ditanam sedalam 8.3 meter. Sewaktu mendirikan menara ini beduk dibunyikan untuk memanggil penduduk kampung turut sama membantu.

                                  

Tok Pulai Chondong juga membina sebuah surau lain di Kampung Bilal Talib dan diberikan nama surau Pulai Chondong sempena nama Pokok Pulai yang tumbuh condong di tapak surau itu.Namun, surau itu terbakar pada tahun 1820. Menara ini pada awal pembinaannya dijadikan tempat melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. Mohd Nor berkata menara berkenaan masih utuh sehingga sekarang walaupun Kelantan pernah dilanda ribut besar suatu ketika dulu.Tok Pulai Chondong adalah ulama tersohor pada zaman pemerintahan Sultan Mahammad II pada tahun 1838 hingga 1886.Sehingga kini masjid terbabit masih diguna kan penduduk kampung dengan beberapa pengubahsuaian. Hanya menara, beduk dan mimbar sahaja yang asal, berusia lebih 100 tahun. Pelbagai program keagamaan dihidup kan di masjid ini seperti kelas mengaji al-Quran, kem solat serta kuliah sebelum Maghrib.Malah pada zaman pemerintahan Jepun dua orang tentera Jepun pernah memanjat menara bagi melihat sendiri keunikannya.

Masya-Allah, begitulah besarnya kuasa Tuhan. Sehingga kini, menara ini masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan oleh bilal sebagai tempat melaungkan azan. Bangunan ini juga merupakan satu tinggalan sejarah yang amat penting yang memerlukan perhatian dan pemuliharaan.